Kisah benar berlaku di Pakistan. Seorang Dr Pakar Bedah terkenal
bernama Dr Ishan tergesa-gesa menuju airport. Beliau akan menghadiri
Seminar Dunia dalam bidang
perubatan yang akan membincangkan penemuan terbesarnya di dalam bidang perubatan.
Setelah perjalanan pesawat kira-kira 1 jam, tiba-tiba pesawat mengalami gangguan dan perlu mendarat di airport yang terdekat.
Beliau pergi ke bilik penerangan dan berkata: "Saya ini doktor pakar,
setiap minit nyawa manusia bergantung pada saya dan sekarang kamu
meminta saya menunggu pesawat dibaiki dalam tempoh 16 jam?"
Pegawai itu menjawab: "Wahai doktor, jika anda terburu-buru anda boleh
menyewa kereta, tujuan anda tidak jauh lagi dari sini, kira- kira dengan
kereta mengambil masa 3 jam."
Dr. Ishan setuju dengan cadangan
pegawai tersebut dan lalu dia menyewa sebuah kereta. Baru berjalan 5
minit, tiba-tiba cuaca mendung disusuli dengan hujan lebat yang
mengakibatkan jarak pandang sangat terhad.
Setelah berlalu hampir
2 jam, dia tersedar yang dia telah tersesat dan terasa keletihan.
Kelihatan sebuah rumah kecil tidak jauh dari hadapannya, lalu dia
singgah di rumah tersebut. Dia mengetuk pintu dan terdengar suara
seorang wanita tua: "Sila masuk, siapa ya?"
Dia masuk dan meminta
kepada wanita tua tersebut untuk berehat dan mahu meminjam telefon.
wanita tua itu tersenyum dan berkata: "Telefon apa Nak? Apa kamu tidak
sedar ada di mana? Di sini tidak ada elektrik, apalagi telefon. Namun
demikian, masuklah dahulu untuk berehat, tunggu sebentar saya buatkan
teh dan sedikit makanan untuk menyegarkan dan mengembalikan kekuatan
kamu. "
Dr. Ishan mengucapkan terima kasih kepada ibu itu, lalu
memakan hidangan. Sementara wanita tua itu bersolat dan berdoa, doktor
tersebut perlahan-lahan mendekati seorang kanak-kanak yang terbaring
tidak bergerak di atas katil disisi wanita tua tersebut dan dia
kelihatan gelisah. Wanita tua tersebut meneruskan solatnya dengan doa
yang panjang.
Doktor mendatanginya dan berkata: "Demi Allah, anda
telah membuat saya kagum dengan keramahan anda dan kemuliaan akhlak
anda, semoga Allah mengakbul doa-doa anda."
Berkata wanita tua
itu: "Nak, anda ini adalah ibnu sabil yang sudah diwasiatkan Allah untuk
dibantu. Sedangkan doa-doa saya sudah dimakbul Allah semuanya, kecuali
satu"
Bertanya Dr. Ishan: "Apa doanya?"
Wanita tua itu
berkata: "Anak ini adalah cucu saya, dia yatim piatu. Dia menderita
sakit yang tidak boleh diubati oleh doktor-doktor yang ada di sini.
Mereka berkata kepada saya ada seorang doktor pakar bedah yang mampu
menyembuhkan, namanya Dr. Ishan. Tetapi dia tinggal jauh dari sini dan
tidak mungkin untuk saya membawa anak ini ke sana. Saya bimbang jika
berlaku apa-apa semasa dalam perjalanan. Makanya saya berdoa kepada
Allah agar memudahkannya."
Menangislah Dr. Ishan dan berkata
sambil teresak: "Allahu Akbar, Laa haula wala quwwata illa billah. Demi
Allah, sungguh doa ibu telah membuat pesawat rosak dan perlu diperbaiki
lama serta membuat hujan petir dan menyesatkan saya, hanya untuk
mengantarkan saya ke sini secara cepat dan tepat. Saya lah Dr. Ishan,
sungguh Allah swt telah menciptakan sebab seperti ini kepada hambaNya
dengan doa. Ini adalah perintah Allah kepada saya untuk merawat anak
ini."
Jangan berputus asa untuk berdoa.
*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com