hamba Allah yang sentiasa berdoa semoga menjadi hambaNya yang terbaik.
Sentiasa usaha jadi umatnya yang ingin selalu mengikuti sunnahnya dan sentiasa rindukannya.
anak yang baik dari kacamata mak ayah dan sentiasa berusaha mendoakan mereka selalu agar hidup aku selesa di sana nanti.
adik perempuan dan kakak pada mereka yang menyayangi aku tanpa ucapan tapi aku tau la dorang sayang aku...
belajar menuntut ilmu dari semua..pengalaman yang tinggi harganya, kelas yang di bayar dari titik peluh dan juga dari biayaan negara untuk aku jadi rakyat yang berilmu.
teman, sahabat, kawan, kenalan yang selalu bertekak, sering bertanya untuk tahu jawapan, makan kongsi-kongsi, jalan-jalan cari ilmu supaya matang dari dulu serta mengharapkan doa kalian untuk simpanan di sana jua.
staf yang buat kije berdasarkan arahan tapi kalau tak ikut tu mesti ada alasan dan sebab punya la..
kenakalan sebab memang aku nakal dan bukan jahat ok...

Friday, July 11, 2014

Hadiah Hari Jumaat: Pengajaran Sebuah Kisah Di Dalam Al-Kahfi

 Nota dari Tuan Hilal Asyraf. Terima kasih.

pada 20hb September 2012 pukul 9.48 ptg
Satu hari, Dr Ala’ Hilat berkongsi akan satu kisah menarik.

   Kisah itu kisah biasa. Aku pun awal-awal mendengar maudu’nya, rasa kurang berminat. Kisah seorang lelaki soleh yang biasanya orang panggil dengan panggilan Khidir, dengan Nabi Allah Musa. Ya, mungkin ramai akan menarik muka terlebih dahulu. “Ala, dah tahu.” Sebab aku juga begitu.

                Tetapi Dr Ala’ Hilat berkata:

                “Al-Quran bukan buku sejarah. Al-Quran bukan buku fizik mahupun kimia. Al-Quran adalah Kitab Hidayah. Petunjuk buat yang memerhati dan membuka hati. Maka kisah Khidir dan Musa bukanlah kisah tarikhi(sejarah), tetapi adalah petunjuk, penenang hati daripada Allah SWT.”

                Ketika itu aku diam dan mula memandang wajah guru kesayanganku itu.

                Menanti apakah yang menarik yang akan disampaikan olehnya. Sebab Dr Ala’ memang terkenal dengan manusia yang mampu menggugah jiwa manusia yang lain.

Sepintas kisah Khidir, menandakan bukan itu perhatian utamanya

Dr Ala’ tidak panjang menceritakan kisah Khidir dan Musa. Dia sekadar mengeluarkan point penting. Katanya ada enam point penting, tetapi dikeluarkan tiga point terlebih dahulu. Dr Ala’ kata, tiga point yang hendak dikeluarkan ini adalah perjalanan Khidir dan Musa.

                1 – Khidir membocorkan perahu milik seorang miskin, yang digunakan oleh mereka berdua untuk merentas sungai.

                “Lalu berjalanlah keduanya(Khidir dan Musa) sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, kemudian dia(Khidir) membocorkannya.” Surah Al-Kahfi ayat 71.

                2 – Khidir membunuh seorang anak kecil.

                “Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya.” Surah Al-Kahfi 74.

                3 – Khidir menegakkan sebuah dinding yang hampir roboh.

                “kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka dia(Khidir) menegakkan dinding itu.” Surah Al-Kahfi ayat 77.

                Dan Dr Ala’ memberitahu betapa Musa AS, dalam setiap perlakuan itu, menimbulkan pertanyaan. Sedangkan, perjanjian yang dipersetujui mereka di awal perjalanan adalah, Musa tidak akan bertanya apa-apa.

                Kemudian Dr Ala’ menceritakan juga hikmah-hikmah mengapa Khidir melakukan semua itu. Dan semua itu terdapat di dalam Al-Quran pada ayat 79-82 Surah Al-Kahfi. Dibocorkan perahu, kerana hendak menyelamatkan perahu itu daripada raja zalim yang suka merampas perahu-perahu yang baik. Dibunuh anak itu, kerana anak itu akan membesar dan menyesatkan kedua ibu bapanya. Dibina semula dinding, kerana di situ terdapat harta untuk dua anak yatim yang tinggal di negeri itu. Dibina semula untuk melindungi harta mereka, agar nanti kala mereka dewasa, mereka akan mendapatkannya.

                Laju sahaja Dr Ala’ menceritakan semua itu.

                Seakan-akan, bukan itu maudu’ utamanya.

                Dan sampai setakat ini, aku masih tidak nampak, apa yang menariknya?

Tiga point yang ditinggal.

Pada titik inilah, Dr Ala’ bertanya kepada kelas:

                “Apakah tujuan utama Allah SWT apabila Dia menceritakan kita kisah ini?”

                Seorang pelajar menjawab – “Kebijaksanaan Khidir?”

                Dr Ala’ menggeleng. “Tetapi bagus kamu utarakan jawapan itu.”

                Seorang pelajar menjawab – “Bagaimana Allah memberikan pengajaran kepada Musa?”

                Dr Ala’ menggeleng. “Musa telah mati.”

                Kelas diam. Aku diam juga. Sebab aku tidak pasti hendak menjawab apa.

                “Apakah benar Khidir itu bijaksana? Atau sebenarnya dia tidak mempunyai ilmu langsung?” Dr Ala’ menimbulkan persoalan. Memecahkan kesunyian. Aku terkejut, begitu juga seluruh isi kelas. Dr Ala’ nak kata Khidir bukan bijaksana? Tak berilmu?

                Aku lihat senyuman Dr Ala’ ketika itu, dan aku yakin dia yakin kata-katanya benar.

                “Tahukah apa yang pertama sekali Allah sebut apabila memperkenalkan Khidir ini?”

                Kami diam tidak menjawab. Dr Ala’ pun membacakan satu potong ayat. Ayat pertama ketika Allah memperkenalkan Khidir kepada pembaca Al-Quran.

                “Lalu mereka bertemu dengan  seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.” Surah Al-Kahfi ayat 65.

                “Khidir sebenarnya, bukan bijaksana. Sebab ilmu Khidir bukanlah ilmu yang dicarinya sendiri. Bukan berdasarkan pengalaman. Bukan berdasarkan pemikiran. Khidir tidak berfikir. Dia hanya ‘bergerak’ berdasarkan apa yang telah ‘ditetap’kan. Sebab ilmu Khidir hakikatnya adalah ilmu Allah SWT secara langsung. Sebab itu Allah menyebut – dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami. Ilmu itu adalah yang kita kenali sebagai Ilmu Ladunni. Ilmu yang datang terus daripada Allah SWT. Atau pendek kata, Ilmu Allah itu sendiri. Yang tak terjangkau dek manusia.”

                Ketika ini mata aku terbuka. Itu point pertama, dari tiga point yang belum disebut.

                “Maka, segala keputusan Khidir di dalam peristiwa ini, bukanlah keputusan dia. Bukan terhasil dari pemikirannya. Bahkan sebenarnya, itu bukan keputusan seorang Khidir pun. Tetapi hakikatnya adalah keputusan Allah SWT. Lihat sendiri apa kata Khidir di akhir perjalanannya dengan Musa.”

                Dan Dr Ala’ membaca: “dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri.” Surah Al-Kahfi ayat 82.

                “Apa yang Khidir lakukan itu, hakikatnya bukan tindakan dia. Khidir hanyalah ibarat robot yang diprogramkan Allah SWT untuk melakukan itu dan ini. Sebab itu, apakah kamu pernah mendengar riwayat sohih akan kewujudan manusia seperti Khidir ini di zaman-zaman lain? Dia hanya wujud untuk Musa dalam perjalanan ini, dan tidak diketahui wujud baik sebelum itu mahupun selepas itu.”

                Sekali lagi aku macam tersentak. Itu point kedua dari tiga. Dada berdegup kencang. Rasa teruja. Rasa macam Allah SWT telah membukakan satu lagi ilmu yang luas untuk diri ini.

                “Dan dengan kisah Khidir, Allah hendak mendidik kita untuk bersabar dengan keputusan-keputusanNya. Sebab itu, isu perjalanan Khidir dengan Musa, hakikatnya adalah isu BERSABAR DENGAN KEPUTUSAN ALLAH SWT. Tidakkah kamu melihat, apakah perjanjian utama mereka di dalam perjalanan ini?”

                "Musa berkata kepada lelaki itu(Khidir): Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Dia menjawab: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu? Musa berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun. Dia(Khidir) berkata: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.” Ayat 66-70 Surah Al-Kahfi.

                Dan lengkaplah tiga point yang ditinggalkan di awal cerita tadi.

Keputusan Allah, dan bersangka baik kepadaNya.

Dr Ala’ memberitahu bahawa, kisah Khidir dan Musa adalah untuk menunjukkan bagaimana Allah SWT dalam membuat keputusan.

                “Apa-apa musibah yang melanda itu, hakikatnya baik untuk kita.” Itu point yang paling penting yang diberikan Dr Ala’ kepada kami.

                Kisah Khidir adalah buktinya. Apabila semua yang dilakukan itu, hakikatnya mempunyai sebab. Tuan punya perahu, perahunya tidak lagi dirampas kerana bocor. Dan bocor itu boleh dibaiki dan dia masih boleh berniaga dengan perahunya lagi. Ibu bapa yang kehilangan anak, keimanan mereka terselamat, dan mereka takkan dicampak ke neraka Allah nanti. Dua anak yatim yang dibantu, memang akan terjaga hartanya sampai mereka dewasa nanti.

                Ada perkara itu, Allah berikan yang pahit dahulu. Perahu bocor, anak mati. Ada perkara, Allah berikan terus-terus nampak baik. Bina dinding yang hampir roboh. Tetapi kesimpulannya, semua itu akan menghala kepada kebaikan.

                “Pokoknya, kita perlu bersabar, dan bersangka baik dengan keputusan Allah SWT. Tidakkah kita belajar bahawa, manusia yang tidak mampu bersabar, adalah manusia yang rugi?”

                Kami tersentak sekali lagi. Eh? Kita belajar daripada mana?

                “Lihatlah Musa, bagaimana dengan ketidak sabarannya, dia terpaksa berhenti dari mengikuti Khidir, sedangkan kalau dia bersabar, mungkin lebih banyak lagi hikmah yang akan dibukakan kepadanya.” Dr Ala’ tersenyum. Kami akhirnya memahami.

                “Orang-orang yang bersabar, dan sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, mereka takkan terganggu dengan musibah-musibah yang melanda mereka. Kerana mereka tahu, Allah SWT hanya mahukan yang baik-baik sahaja.”

Penutup: “Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu.” 

Dr Ala’ kemudian berkata:

                “Ilmu Allah itu, memang takkan terjangka oleh kita. Apa kata kita letakkan sepenuhnya kepercayaan kita, kepada Allah SWT Yang Maha Mengetahui Segala-galanya itu?”

                Itulah pointnya dinyatakan jenis ilmu Khidir. Ilmu Ladunni. Bukan Ilmu manusia. Tetapi Ilmu Ilahi. Tak sama ilmu manusia, dengan ilmu Ilahi.

                “Musa telah tiada. Tetapi kisah itu kekal hingga ke hari ini. Sebab pengajaran di dalam kisah itu, hakikatnya untuk kita. Maka perhatikanlah. Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu. Kalau kita melihat ini sekadar tarikhi(sejarah), kamu takkan sampai kepada apa yang aku sampaikan kepada kamu hari ini.”

                Aku rasa puas.

                Indah sungguh Al-Quran. Indah sungguh ilmu Allah SWT. Cantik sungguh cara penceritaan di dalam Al-Quran. Dan besar sungguh pengajaran yang Allah mahu berikan.

                Hanya dari satu cerita, yang orang selalunya menyangka biasa-biasa.

                Semoga bermakna kepada kita semua.


Ps: Dr Ala' Hilat adalah pensyarah di Kuliah Syariah University of Yarmouk, Jordan. Merupakan seorang yang khusus(pakar) di dalam bidang Muqorantul Adyan(perbandingan agama). Juga antara sebilangan kecil orang-orang arab yang mengambil pengkhususan mendalami agama Yahudi sehingga ke akar umbinya. Dr Ala' Hilat juga pakar dalam bidang Ilmu An-Nafs. Umurnya baru awal 30-an. Hampir seluruh jenis mata pelajaran Aqidah(Aqidah, Muqoranatul Adyan, Firaq fi tarikhil islam), saya belajar dengan dia.



Monday, July 7, 2014

Wahai Sahabat, aku sayang kepadamu kerana Allah

Wahai sahabatku,
Aku sayang kepadamu kerana Allah.
Kasih sayang adalah anugerah Allah kepada hambaNya. Ia lahir dari perasaan halus dalam qalbu lalu membentuk sikap, keinginan dan kasih sayang. Allah mengurniakan perasaan ini sehingga menggetar jiwa dan perasaan, lalu lahir rasa gembira dan sedih. 

Wahai Sahabatku,
Bilamana aku mencintaimu kerana Allah, bermakna aku mengharapkan persahabatan ini diredhai Allah, agar ia berjalan kerana Allah dan bagi Allah. Persahabatan ini bukan di asas atas kebendaan atau kehendak duniawi yang dimiliki olehmu atau rakan-rakanmu. Persahabatan kerana Allah bermakna kalau aku menegurmu, maka teguranku kerana kasihku padamu. Aku bimbang kalau Allah murka kepadamu, lalu Ia menjauhkan kita dalam persahabatan ini.

Wahai sahabatku,
Kecintaanku padamu kerana Allah bermakna aku akan sentiasa ingat padamu kerana Allah, mengenangmu dalam setiap doa dan munajatku, mengharapkan agar Allah memeliharamu. Alangkah tingginya kasih sayang. Ini kerana Allah.
Pernah suatu hari seorang sahabat datang menemui Rasulullah, dan menyatakan ia sayang sahabatnya kerana Allah, lalu Baginda bertanya, " apakah dia tahu kamu sayang padanya kerana Allah?", lalu kata sahabat itu, " dia tidak mengetahui ya Rasulullah ", lalu Baginda menyuruhnya memberitahu sahabat itu. Lalu ia bangkit dan menemui sahabatnya, lalu ia berkata " wahai sahabatku, aku sayang padamu kerana Allah".

Wahai sahabatku,
Aku sayang kepadamu kerana Allah kerana persahabatan ini bukan hanya sekadar dunia ini semata mata, bahkan ia akan berterusan sampai alam barzakh dan alam akhirat. Alangkah indahnya bilamana Allah kumpulkan semua kekasihnya di kalangan para Rasul lalu Allah kumpulkan pula kita semua bersama kekasih Allah itu".

Wahai sahabatku,
Aku akan gembira melihatmu berada dalam keredhaan Allah dalam ibadahmu, zikir dan munajatmu. Bilamana engkau berada dalam medan jihad, lalu engkau korbankan masamu, kerehatanmu bersama keluarga, harta bendamu dan tenagamu semuanya engkau lakukan tanpa mengeluh, tanpa mengadu kepenatan, tanpa mengharapkan sebarang habuan duniawi. Aku tahu engkau saban malam mengadu kepada Allah segala kepenatanmu, kedukaanmu dan kesukaran bidupmu. Lalu Allah menyiram hatimu dengan rahmat dan kasihsayangNya, sehingga hilang resahmu dan kepenatanmu.

Wahai sahabatku,
Aku bangga denganmu yang tidak mempeduli kata nista, fitnah dan cercaan manusia kepadamu kerana bilamana hatimu penuh dengan kasih sayang Allah, maka tiada lagi ruang untuk makhluk merosakkan jiwamu. Ketabahanmu dalam perjuangan ini menjadi inspirasi buat semua sahabat- sahabat agar kita saling mensayangi, mencintaimu kerana Allah.

Wahai sahabatku,
Kecintaan ku padamu kerana Allah menyebabkan engkau tidak akan melupaiku dalam doa dan munajatmu. Bilamana engkau memohon keampunan Allah terhadap dosamu, maka akan pasti engkau akan turut memohon pengampunan Allah terhadap dosa dan kesalahanku. Bilamana engkau memohon rahmat Allah, maka engkau akan memohon sama untukku, dan bilamana engkau mengharap redha Allah, maka engkau akan turut memohon redha Allah terhadapku. Sebagaimana aku akan lakukan juga untukmu, kerana aku menyayangimu kerana Allah.

Wahai sahabatku,
Persahabatan ini menuntut aku membersihkan dirimu dari fitnah dan nista. Persahabatan ini menuntut aku agar sentiasa melindungimu dari sebarang usaha musuh merosakkanmu dan keluargamu. Persahabatan ini menuntutku agar mengutamakanmu dalam sebarang kedudukan dan tempat. Bahkan persahabatan ini menuntut agar aku sentiasa baik sangka terhadapmu kerana Allah.

Wahai sahabatku,
Andainya dalam persahabatan ini aku memarahimu, menegurmu, atau meninggikan suaraku terhadapmu ketahuilah ia dilakukan kerana Allah bagi membetulkan langkahmu, lalu bersyukurlah. Andainya ia kelemahanku dan sifat burukku, aku mohon keampuanan Allah dan kemaafanmu di atas kesilapanku. 


Wahai sahabatku,
Aku tidak pernah menyimpan kemarahanku di dalam benak fikiran dan hatiku kerana bilamana aku menyayangimu kerana Allah, maka aku akan tidak akan mencari kemurkaanNya dalam pergaulan dan persahabatan ini. Alangkah indahnya bilamana kita berbicara, memerah fikiran dan tenaga bagi mendaulatkan perintah Allah bersama- sama, kita masih boleh gelak ketawa dalam teguran dan kritikan, kita masih boleh senyum dalam kepenatan dan kesakitan dan kita masih boleh saling mengutamakan sahabat dari diri kita . Alangkah indahnya persahabatan dalam perjuangan ini.

Ya Allah , aku sayang sahabatku serta sahabat seperjuanganku keranaMu, maka peliharalah ukuhwah ini keranaMu wahai Allah.

Ramadhan kareem

Sunday, July 6, 2014

Berdoa..jangan tak doa...


Bulan Ramadhan ni bulan penuh keberkatan. Doa orang berpuasa kata Nabi saw adalah Doa yang makbul.

Antara waktu terbaik berdoa ialah sekitar waktu iftar (berbuka puasa). Waktu nak iftar janganlah sibuk dengan juadah lagi, duduk beristighfar, zikir, dan doalah bersungguh-sungguh.

Kata Nabi saw dalam satu hadith, berdoalah kamu seolah-olah kamu yakin doa kamu itu dimakbulkan.

Maka, inilah peluang keemasan kita. Jangan ambil ringan hal ini kerana doa antara senjata yang paling berharga bagi umat Islam.

Mana tidaknya, antara faktor kemenangan tentera Muslimin dalam peperangan Badar adalah doa Nabi saw yang dimakbulkan. Ketika itu bulan Ramadhan, mereka berpuasa, mereka berdoa.. Lantas Allah kabulkan doa mereka.

Selamat beribadah di bulan yang mulia.. 




Imam Muda Hassan

Thursday, July 3, 2014

Keajaiban Bersedekah

Assalamualaikum,

3 minggu lepas, saya menghadiri satu seminar selama 5 hari.

Seminar ini kebanyakannya dihadiri oleh mereka yang diberi kelapangan kewangan oleh Allah. Ini kerana kos seminar itu hampir RM8,000 untuk 5 hari.

Tak ramai yang mampu hadir disebabkan kos yang sangat tinggi.

Bertemu Dengan Ramai Jutawan

Sepanjang 5 hari di sana, saya bertemu dengan ramai jutawan.

Mereka 'tersangat' kaya.

Ada yang income mencecah RM500k-RM600k sebulan, baru berusia 40-an.

Ada yang baru berusia 25 tahun, tapi pendapatan bulanan sudah mencecah RM50k sebulan.

Ada yang berusia 35 tahun. Sales tahunan mencecah RM120 juta.

Tak boleh nak cerita semua. Sebab terlalu ramai yang hebat.

Subhanallah. Saya sendiri terkejut dengan kejayaan mereka.

Jangan tunggu kaya baru nak sedekah. Sebab itulah nanti kita tak kaya kaya. Untuk menerima, kita perlu memberi dahulu.

Nasihat Dari Para Jutawan

Semasa salah satu sessi, saya sarapan pagi bersama mereka.

Saya tanya mereka, apa rahsia amalan yang mereka buat untuk berjaya sampai ke tahap itu?

Salah seorang peserta, berusia 25 tahun berpendapatan RM50k sebulan berkongsi dengan saya.

"Bang, saya nak share satu benda aja. Kalau kita nak yang terbaik. Kita kena beri yang terbaik. Nak duit banyak, kena sedekah banyak. Satu benda mudah yang saya nak share dengan abang, sedekah bila masuk masjid. Abang buka beg duit, ambil duit yang paling besar. Then, sedekah kat tabung masjid. Abang buat aje, nanti abang akan rasai perbezaannya. Bila kita beri yang terbaik, Allah pulangkan yang terbaik untuk kita."

Kemudian, salah seorang CEO syarikat lain menambah.

"Firdaus, kau jangan percaya apa dia ni cakap. Jangan percaya, tapi kau buat aje!!! Ingat, duit yang paling besar dalam wallet ok."

Kemudian, salah seorang CEO syarikat lain pulak menambah.

"Saya ni dah lama jutawan. Tapi, dulu nak sedekah kat masjid, RM10 pun rasa berat. Kedekutnya saya waktu tu. Tapi, lepas saya belajar. Saya dah tak kedekut. Saya pun sama macam mereka. Saya keluarkan duit yang paling besar ada dalam wallet saya. Saya juga selalu tukar duit kecil, RM1, RM5, RM10, RM20 dan saya selalu bawa bersama saya. Bila saya jumpa orang yang memerlukan, saya akan sedekah ikut keperluan mereka."

Wowwww...... Ini rupanya rahsia mereka.

Saya Masuk Masjid Dan Teringat Kata Kata Mereka

Hari Khamis yang lepas, saya masuk ke Masjid di Parit Buntar.

Pada waktu tu, saya teringat nak bersedekah kepada masjid. Saya berazam nak sumbanglah RM50 kepada masjid. Sebab saya sangka itulah duit yang paling besar saya ada dalam wallet.

Tiba tiba, bila saya buka beg duit.

Allahuakbar. Macam mana ada duit RM100 pulak dalam wallet saya ni?

Aduh !!!!!

Iman saya mula bergoyang. Nak sumbang RM50 pun dah kira besar. Inikan pula RM100. Fuhhhhh.... Saya berpeluh seketika.

Tapi, disebabkan saya teringat kata kata para jutawan yang menggalakkan saya menderma wang terbesar dalam wallet. Saya pun, dengan rasa 'berat hati'. Saya keluarkan RM100 dan masukkan dalam tabung masjid.

Saya ingat lagi, masa saya sumbang tu. Saya berdoa kepada Allah.

"Ya Allah, aku berikan yang terbaik untuk Mu. Aku tak tahu macam mana Kau akan gantikan duit ini untukku. Tapi, aku sudah menjalankan tanggung jawabku. Sekarang, aku serahkan pada Mu untuk mengaturkan sesuatu untuk aku."

Sejujurnya, masa saya keluar masjid. Saya asyik berfikir.

"Hmmm.... macam manalah Allah nak gantik RM100 ni dalam masa segera?" tak nampak jalan yang saya akan dapat duit dari mana mana sumber bisnes yang saya buat.

Tapi, tak per lah. Saya buat kerja saya, selebihnya saya serahkan kepada Allah.

Apa Berlaku Pada Hari Jumaat?

Pagi Jumaat, saya buat kerja seperti biasa. Tiba tiba, saya dapat panggilan telefon daripada abang saya.

"Daus, cepat cepat. Jual saham yang hang beli tu? Sekarang naik mencanak."

Tanpa membuang masa, saya terus onlinekan telefon saya.

Saya cek saham yang dah 2-3 minggu saya beli, yang asyik turun tak naik naik. Saya pun dah sedikit kecewa dengan saham ni.

Terbeliak biji mata saya tengok harga semasa saham tersebut.

Allahuakbar.

Kalau dihitung mudah, keuntungan sekitar RM4,800.

Subhanallah. Tanpa membuang masa, saya terus jual saham tersebut.

Syukur Alhamdulillah.

Saya benar benar tak sangka, Allah nak beri rezeki kepada saya daripada pintu yang tidak saya sangka.

Memang saya jangka saham yang saya beli tu akan naik. Saya jangka untung dalam RM1,000-RM1,500. Tak lah sampai RM4,800 dalam tempoh 2-3 minggu.

Subhanallah. Saya bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan.

Selepas itu, saya pergi ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Sekali lagi, saya buka beg duit saya, saya dermakan wang paling besar yang saya ada.

Kali ini, saya berdoa kepada Allah.

"Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat yang Kau berikan kepadaku. Terima kasih kerana memberi 'pulangan' kepada aku dengan begitu pantas. Hari ini, aku berikan sumbangan aku lagi untuk masjid ini. Semoga Kau berikan yang lebih baik buat aku selepas ini."

Jangan takut untuk bersedekah.

Allah Allah.....

Selama ini, bukan saya tak percaya THE POWER OF SEDEKAH.

Saya tersangat percaya, tapi biasalah. Kita manusia. Kita selalu rasa takut nak MEMBERI. Kita ingat dengan memberi akan mengurangkan apa yang kita ada.

Sebenarnya tak, bila kita memberi. Kita akan menambah apa yang kita sedia ada.

Saya tulis kali ini, semata mata untuk memberi kekuatan kepada saya untuk memberi yang terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan.

Semoga kisah ini juga sedikit sebanyak akan memberi inspirasi kepada anda untuk bersedekah.

Kawan kawan semua.... Jom Bersedekah.

Ingat pesan ini, "Kita kurang berjaya bukan kerana kita kurang menerima, tetapi kerana kita kurang memberi. The more we give, the more we get back. Insya Allah."

Jika kita tak mampu nak bersedekah dengan wang ringgit, jom bersedekah dengan cara yang paling mudah. Iaitu dengan memberi senyuman.

Kalau ini pun kita tak mampu nak lakukan, hmmm.... Lebih baik kita usah hidup.

Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk lebih banyak memberi selepas ini.


ps:/ saya copy paste dari fb tapi cubalah memang menjadi..insyaallah