KUALA LUMPUR 22
OGOS – Persoalan berhubung apakah hukum tafakkur dan berkabung banyak
diperkatakan. Berdasarkan fanpage Fatwa Malaysia jelas sekali bahawa
tafakkur adalah diharuskan apatah lagi apabila diisi waktu tersebut
dengan membaca al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada saudara kita yang
terkorban. Manakala hukum berkabung dengan berpakaian hitam juga tidak
menyalahi ajaran Islam apabila ulama Syria yang terkenal Sheikh Dr.
Wahbah al-Zuhaylimenyebut bahawa dalam konteks wanita yang kematian
suami diharuskan untuk memakai pakaian hitam, maka jika digunakan Qiyas
kepada apa jua keadaan bersedih dan berdukacita, ianya juga diharuskan.
Di bawah ini adalah penjelasan dari laman fanpage Fatwa Malaysia kendalian Felo Fatwa Malaysia (JAKIM):
Soalan:
Saya ingin bertanya tentang isu tafakkur dan berkabung. Adakah dalam
Islam ada amalan tafakkur sebagai tanda kedukaan atas kematian
sepertimana dalam ke MH17. Begitu juga tentang amalan berkabung. Dalam
Islam apa yang sepatutnya dilakukan. Mohon penjelasan. Terima kasih.
PENJELASAN:
Faham bertafakkur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan
sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa
minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna
“kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa
yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya
kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas
(al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)
Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang mati tidaklah bertentangan dengan syarak kerana
ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak
melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan
keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan ‘moment of silence’
lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada
mereka yang telah meninggal dunia. Namun sekiranya perbuatan tersebut
disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin
atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan
Islam dan dilarang oleh syarak. Asas terhadap keharusan tersebut boleh
diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah
seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan.
Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas
yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri
majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan
menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).
Walaupun
apa yang dilakukan oleh Nabi dan Qays, tidaklah benar-benar sama dengan
perbuatan ‘moment of silence’, namun kedua-dua perbuatan tersebut
memberi isyarat bahawa tidak salah untuk menghormati orang yang
meninggal melalui perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariah,
termasuk bukan Islam. Islam sendiri menggalakkan kita mengambil iktibar
dari kematian. Namun yang terbaik untuk dilakukan bagi menghormati orang
Islam yang meninggal dunia ialah dengan mendoakan mereka dan membaca
ayat-ayat suci al-Qur’an. Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan
tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan
bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau
suram adalah dibenarkan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau
ritual keagamaan agama bukan Islam yang bertentangan dengan syarak.
Dalam
perbahasan para ulama amalan berkabung banyak merujuk secara khusus
kepada apa yang dilakukan oleh seorang wanita yang kehilangan suami.
Istilah yang digunakan ialah al-ihdad/al-hadad yang bermaksud menahan
diri daripada berhias. Menurut istilah pula, perkabungan memberi erti
meninggalkan perbuatan memakai haruman, perhiasan, celak, minyak, sama
ada yang harum ataupun tidak, iaitu yang khusus bagi tubuh. Namun ia
boleh dikiaskan kepada konteks yang lebih besar termasuk dalam konteks
masyarakat dan Negara seperti dalam kes MH17. Maka keputusan untuk
menetapkan beberapa hari untuk tujuan berkabung adalah termasuk dalam perkara yang harus.
Malah dalam hal memakai pakaian berwarna hitam, terdapat perbahasan
yang mengatakan bahawa Keempat-empat mazhab mengharuskan (iaitu dalam
konteks wanita kematian suami) untuk memakai pakaian berwarna hitam. (Wahbah al-Zuhayli, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jild 7. 662)
Sumber: Fanpage Fatwa Malaysia
No comments:
Post a Comment