hamba Allah yang sentiasa berdoa semoga menjadi hambaNya yang terbaik.
Sentiasa usaha jadi umatnya yang ingin selalu mengikuti sunnahnya dan sentiasa rindukannya.
anak yang baik dari kacamata mak ayah dan sentiasa berusaha mendoakan mereka selalu agar hidup aku selesa di sana nanti.
adik perempuan dan kakak pada mereka yang menyayangi aku tanpa ucapan tapi aku tau la dorang sayang aku...
belajar menuntut ilmu dari semua..pengalaman yang tinggi harganya, kelas yang di bayar dari titik peluh dan juga dari biayaan negara untuk aku jadi rakyat yang berilmu.
teman, sahabat, kawan, kenalan yang selalu bertekak, sering bertanya untuk tahu jawapan, makan kongsi-kongsi, jalan-jalan cari ilmu supaya matang dari dulu serta mengharapkan doa kalian untuk simpanan di sana jua.
staf yang buat kije berdasarkan arahan tapi kalau tak ikut tu mesti ada alasan dan sebab punya la..
kenakalan sebab memang aku nakal dan bukan jahat ok...

Monday, July 14, 2014

Wasiat Rasullallah kepada Saidina Ali


Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, "Rasulullah saw berwasiat kepadaku dengan sabda Baginda":

 "Ya Ali! Tidak ada kefakiran yang lebih hebat daripada kebodohan.

 Tidak ada harta yang lebih berharga daripada aqal.

Tidak ada kesepian yang lebih sunyi daripada ujub (rasa kagum pada diri sendiri).

Tidak ada kekuatan yang lebih hebat daripada musyawarah.

Tidak ada wara' yang lebih baik daripada menahan diri.

Tidak ada keindahan selain akhlak dan tidak ada ibadah yang melebihi tafakur."

 "Ya Ali! Segala sesuatu itu ada penyakitnya. Penyakit berkata-kata adalah bohong.

Penyakit ilmu adalah lupa.

Penyakit ibadah adalah riak.

Penyakit akhlak adalah memuji diri sendiri.

Penyakit pemurah adalah menyebut-nyebut pemberian.

Penyakit bangsawan adalah merasa bangga.

Penyakit malu adalah lemah. Penyakit mulia adalah menonjolkan diri.

Penyakit kaya adalah kikir dan berlebih-lebihan, dan penyakit agama adalah hawa nafsu."

 "Ya Ali! Perbanyakkanlah membaca Surah Yassin, kerana dalam membacanya itu terdapat sepuluh macam keberkatan.

Tidak ada orang yang membacanya waktu lapar atau puasa melainkan kenyang.

Haus kecuali hilang hausnya.

Tidak memiliki pakaian melainkan ia akan memperolehi pakaian.

Merasa takut kecuali datang rasa aman.

Di penjarakan melainkan ia akan keluar dari penjara.

 Bujang melainkan ia akan berkahwin.

Sewaktu musafir matanya menjadi terang dalam perjalanan.

Tidak membacanya orang yang kehilangan sesuatu benda melainkan mendapatkannya kembali.

Tidak dibacakan ia ke atas orang yang akan hampir ajalnya melainkan diringankan baginya.

Barangsiapa yang membacanya di waktu subuh nescaya ia akan aman sehingga petang, dan barangsiapa yang membacanya di waktu petang nescaya ia akan berada di dalam keadaan aman sehinggalah waktu pagi."

 "Ya Ali! Bacalah Surah Hammim Ad-Dukhaan pada malam Jumaat, nescaya Tuhan memberikan keampunan kepadamu."

 "Ya Ali! Bacalah Surah Hasyar nescaya engkau berkumpul pada hari kiamat dalam keadaan aman dari segala sesuatu."

 "Ya Ali! Bacalah Surah Tabaraka dan As-Sajadah nescaya berkat keduanya engkau diselamatkan Tuhan daripada bahaya hari kiamat."

 "Ya Ali! Bacalah Qulhuwallahu Ahad dalam keadaan engkau berwudhuk, nescaya engkau akan di seru pada hari kiamat; Hai pemuji Tuhan! Bangkitlah, maka kemudian masuklah ke dalam syurga!"

 "Ya Ali! Bacalah Surah Al-Baqarah, kerana sesungguhnya dalam membacanya itu ada membawa keberkatan, dan tidak mahu membacanya membawa penyesalan.

 "Ya Ali! Janganlah engkau bersetubuh dengan isterimu pada malam bulan sabit baru muncul, dan jangan pula pada pertengahan bulan, kerana di khuatirkan anakmu akan cacat." Aku (Ali) bertanya: Kenapa demikian ya Rasulullah? Jawap Baginda: "Kerana Jin banyak mendatangi wanita-wanita pada malam tengah bulan dan pada malam Hilal (bulan sabit). Apakah engkau tidak perhatikan bahawa orang-orang gila itu boleh muncul penyakitnya kembali pada malam tengah bulan dan malam Hilal itu?

 "Ya Ali! Jauhilah sengketa, kerana ia akan menghapuskan amalan-amalan engkau."

 "Ya Ali! Segeralah bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkah mendahului sedekah."

 "Ya Ali! Jauhilah kemarahan, kerana syaitan menguasai anak cucu Adam dalam keadaan ia marah."

 "Ya Ali! Jauhilah olok-olok, kerana hal itu akan menghilangkan kehebatan anak cucu Adam dan kesungguhannya."

 " Ya Ali! Jauhilah riba, kerana padanya terdapat enam perkara, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga di dunia; 1. Ia akan cepat memusnahkan harta. 2. Ia akan melenyapkan kekayaan 3. Ia akan menghapuskan rezeki. Adapun yang tiga di akhirat ; 1. Ia akan membawa buruk perhitungan (hisab). 2. Ia akan membawa kemurkaan Allah swt. 3. Kekal di dalam neraka."

 "Ya Ali! Cintailah fakir miskin, nescaya Allah akan cinta pula kepadamu."

 "Ya Ali! Janganlah engkau bentak fakir miskin, nescaya engkau akan di bentak pula oleh Malaikat pada hari kiamat."

 "Ya Ali! Janganlah engkau abaikan sedekah, kerana ia akan menolak kejahatan dari dirimu."

 "Ya Ali! Keluarkan infak hartamu dan berikan kelapangan kepada keluargamu, dan janganlah khuatir terhadap Tuhan yang memiliki Arasy bahawa Ia akan menyediakan kurnia-Nya terhadapmu."

 "Ya Ali! Janganlah berdusta, kerana dusta itu menghitamkan muka. Bila seseorang sentiasa berdusta, dia akan dinamakan disisi Tuhan "si pendusta", dan bila dia benar maka akan dinamakan disisi Tuhan sebagai orang yang "benar" (siddiq). Sesungguhnya berdusta itu akan menjauhkan Iman.

 "Ya Ali! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah bicara yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat melebihi ketajaman lisannya."

 "Ya Ali! Jauhilah sifat dengki, kerana dengki itu memakan segala kebajikan sebagaimana api memakan kayu bakar". (Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasa'i) -


 Artikel iluvislam.com

10 Sebab Jerman Menang Piala Dunia 2014


10 Sebab Jerman Menang Piala Dunia 2014 | Selepas mengaibkan pasukan tuan rumah, Brazil baru-baru ini, Jerman dilihat sebagai pasukan yang lebih berkebolehan untuk memenangi Piala Dunia 2014 berbanding Argentina. Jom baca, 10 sebab mengapa Jerman menang piala dunia tahun ini !

Jerman Juara Piala Dunia 2014

Pemain gantian, Mario Goetze membawa Jerman menjulang Piala Dunia 2014 apabila jaringannya pada minit 113 di masa tambahan menewaskan Argentina dengan keputusan 1-0 dalam final Piala Dunia di Estadio do Maracana di Rio de Janeiro, Brazil awal pagi tadi.

Kemenangan itu juga meletakkan Jerman melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi pasukan Eropah pertama memenangi Piala Dunia di bumi Amerika Selatan dan mengulangi kemenangan ke atas Argentina pada 1990.

Jerman yang kali terakhir layak ke final pada Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan sebelum tewas kepada Brazil dengan jaringan 2-0 kelihatan memulakan aksi dengan begitu berhati-hati sambil Argentina melakukan asakan bertubi-tubi ke pintu gol Jerman.

Dibarisi pemain terbaik seperti Lionel Messi di sepak mula, Argentina memiliki barisan pemain terbaik dalam sejarah. Pemenang pemain terbaik dunia sebanyak tiga kali, mensasarkan kemenangan pada hari ini sangat penting buatnya.

10 Sebab Jerman Menang Piala Dunia 2014

1. Miroslav Klose

Gol Klose pada minit ke-22 semasa perlawanan di antara Jerman dengan Brazil meletakkan beliau dalam sejarah sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia 2014.

Klose mempamerkan aksi menakjubkan sejak Piala Dunia 2002 apabila menjaringkan lima gol pada kejohanan tersebut. Pada 2006, beliau sekali lagi mencatat lima gol dan pada 2010, empat gol.


Kini, setelah empat tahun beliau masih lagi dan akan terus menyengat.

2. Permainan yang mantap

Jerman bukan sahaja sebuah pasukan bolasepak, malah mereka disifatkan sebagai ‘mesin’ yang mampu memusnahkan lawan mereka. Kalau dahulu mereka lebih banyak menumpukan kepada benteng pertahanan, tetapi sekarang mereka telah mempunyai sentuhan permainan ala Sepanyol dengan pemain tengah dan penyerang banyak membuat asakan.

Ditambah dengan ketangkasan Manuel Neuer yang menjaga pintu gol mereka, Jerman merupakan sebuah ‘mesin’ yang sukar dihalang. Ini terbukti apabila mereka membelasah pasukan tuan rumah yang juga merupakan pasukan lagenda Piala Dunia, Brazil dengan 7-1.


3. Penyerang yang berbisa

Selain Klose, Jerman mempunyai beberapa lagi penyerang berbisa yang mampu menyempurnakan hantaran dengan baik. Mereka adalah Thomas Muller dan Andre Schurrle.

Sebagai penyerang, Muller sering kali dilihat berada tepat pada masanya untuk membuat penyudahan gol semasa rakan sepasukannya membuat hantaran.

Schurrle pula berani berhadapan dengan benteng pertahanan pasukan lawan dan tidak gentar apabila melakukan serangan.

4. Tiada ‘Messi’

Tidak seperti pasukan Argentina, Jerman tidak mempunyai pemain atau ‘bintang' yang terpaksa mereka bergantung harap seperti Lionel Messi.

Meskipun mempunyai bintang ada kelebihannya, tetapi ia menjadi masalah apabila pemain tersebut mengalami kecederaan seperti yang berlaku pada Brazil. Tidak seperti Jerman, Argentina terlalu banyak bergantung kepada Messi.

Tanpa perlu berharap kepada hanya seorang pemain, Jerman mampu berfungsi cemerlang sebagai sebuah pasukan. Ini memberikan mereka kelebihan berbanding Argentina.


5. Kerjasama yang baik

Mereka bertahan, bergerak dan menyerang sebagai sebuah pasukan. Daripada penjaga gol, hingga ke penyerang, mereka dapat membaca pergerakan satu sama lain dengan amat baik.

Benteng pertahanan yang dikawal oleh Mats Hummels, Jerome Boateng dan Philipp Lahm bukan sahaja kukuh di bahagian pertahanan, mereka juga mampu membawa permainan ke bahagian tengah untuk diserahkan kepada pemain tengah seperti Mesut Ozil dan seterusnya kepada Klose dan Muller di bahagian serangan. Pergerakan ini memperlihatkan Jerman bertindak sebagai sebuah pasukan yang kemas.

6. Permainan Argentina yang ‘lemah’

Jika Argentina terpaksa berhempas pulas hingga ke minit-120 dan seterusnya ke penentuan penalti untuk menewaskan Belanda, bayangkan apa yang mereka terpaksa lalui dengan Jerman. Jika Jerman berjaya mematikan pergerakan Messi, tidak hairan Argentina akan menerima nasib yang sama dengan Brazil nanti.

7. Mereka telah menundukkan Brazil

Jerman telah menjadi pasukan yang pertama menjaringkan tujuh gol dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia dan menundukkan pasukan tuan rumah di hadapan penyokongnya sendiri. Dengan momentum yang dikekalkan sekarang, mereka mampu menjadi wakil Eropah yang berjaya ‘menakluki’ bola sepak di bumi Latin.


8. Semangat 1990

Pada perlawanan final Piala Dunia 1990, Jerman berjaya membalas kembali kekalahan mereka pada 1986 dengan Argentina. Ia ditambah lagi dengan dua kekalahan berturut-turut Argentina kepada Jerman pada peringkat suku akhir pada Piala Dunia 2006 dan 2010.

Ini tentunya akan membuatkan Argentina dahagakan pembalasan. Tetapi semangat inilah yang akan membuatkan Jerman akan terus menghalang Argentina dari merampas semula rekod yang dicipta.

9. Bahagian tengah yang kukuh

Sepanjang kejohanan Piala Dunia kali ini, Jerman dilihat amat cekap dalam melakukan hantaran-hantaran bola yang kemas dan cantik. Ini memudahkan lagi tugas Muller, Klose dan Schurrle untuk menjaringkan gol.

Selain itu, bahagian tengah Jerman juga dikatakan antara tonggak kekuatan pasukan tersebut. Gandingan pemain-pemain tengah seperti Sami Khedira, Bastian Schweinsteiger, Mesut Ozil dan Toni Kroos yang bertindak sebagai pertahanan dan juga penyerang mampu menyekat pergerakan pihak lawan.

10. Semangat yang tinggi

Semangat Jerman seolah-olah mereka turun untuk beperang, dan inilah yang diperlukan untuk setiap pasukan jika hendak memenangi sebarang kejohanan. Kerjasama serta semangat berpasukan mereka amat kukuh tanpa sebarang ego di antara mereka. Semangat bersatu padu ini amat membezakan mereka dengan Argentina, dan ini tentunya antara sebab utama mengapa Jerman pasti akan memenangi Piala Dunia 2014.


------------------

Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman social milik anda. :)

Kredit artikel kepada Astro Awani.

Disunting oleh Brado Kapak a.k.a Brado Klose.

7.18 pagi, 14 Julai 2014.

Tahniah Germany !

Friday, July 11, 2014

Kasih mak dan ayah


“Nurse, boleh saya tengok bayi saya?” ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat. Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu, ciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada di pangkuan.

Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga. Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup mengembirakan si ibu.

Masa terus berlalu…

Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia ejek rakan-rakan. “Mereka kata saya cacat,” katanya kepada si ibu.

Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk. Ayah kanak-kanak itu bertemu doktor. “Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma,” kata pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.

Setahun berlalu…

“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan,” kata si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang.

Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.

“Sebelum saya berangkat keluar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,” kata si anak berkali-kali.”Tak mungkin,” balas si ayah. “Perjanjian antara ayah dengan penderma itu masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba.”
“Bila?” tanya si anak.

“Akan tiba masanya anakku,” balas si ayah sambil ibunya mengangguk-angguk. Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.

Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku.

Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada.

“Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,” si ayah berbisik ke telinga anaknya. “Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat, dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya… tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.”

Si anak kaku..

HUKUM SUAMI GUNA DUIT ISTERI


Jawapan Ustaz Azhar Idrus :Jawabnya, HALAL.... Jika isteri HALALKAN. Tapi ingat! Perbelanjaan harian yang perlu adalah WAJIB atas suami walaupun isteri kaya dan banyak duit. Cth : Isteri berniaga RM20K sebulan, suami makan gaji RM2000 sebulan. Suami TAK BOLEH kata pada isteri, 'Yang ni awak bayar'. Hukumnya HARAM.

Kerana tanggungjawab belanja nafkah harian adalah atas suami. Melainkan Isteri kata, 'Oleh kerana awak tak ada duit, biar saya yang bayar'. Ini baru boleh.

Ramai suami2 yang memperbodohkan isterinya dengan menyuruh isteri bayar itu bayar ini. 'Yang ni awak bayar, yang tu saya bayar'.

Ingat, hukumnya HARAM kerana setiap sen untuk belanja nafkah adalah tanggungjawab suami, kecuali isterinya halalkan baru boleh.

Macamana dengan duit isteri yang suami guna selama ini? Jawabnya, duit isteri yang telah suami guna untuk buat belanja, akan menjadi beban HUTANG yang suami WAJIB bayar balik pada isteri, kecuali isteri halalkan.

SUAMI JUGA TIADA HAK UNTUK BERTANYA TENTANG DUIT ISTERI DAN KE MANAKAH ISTERI BELANJAKAN DUIT TERSEBUT.

Ada pulak suami atau bakal suami yang kata, 'Oooo... kalau macam tu teruk la.

Mana boleh....' Jawapannya senang, kalau dah tahu tak boleh, jangan kahwin!

Hadiah Hari Jumaat: Pengajaran Sebuah Kisah Di Dalam Al-Kahfi

 Nota dari Tuan Hilal Asyraf. Terima kasih.

pada 20hb September 2012 pukul 9.48 ptg
Satu hari, Dr Ala’ Hilat berkongsi akan satu kisah menarik.

   Kisah itu kisah biasa. Aku pun awal-awal mendengar maudu’nya, rasa kurang berminat. Kisah seorang lelaki soleh yang biasanya orang panggil dengan panggilan Khidir, dengan Nabi Allah Musa. Ya, mungkin ramai akan menarik muka terlebih dahulu. “Ala, dah tahu.” Sebab aku juga begitu.

                Tetapi Dr Ala’ Hilat berkata:

                “Al-Quran bukan buku sejarah. Al-Quran bukan buku fizik mahupun kimia. Al-Quran adalah Kitab Hidayah. Petunjuk buat yang memerhati dan membuka hati. Maka kisah Khidir dan Musa bukanlah kisah tarikhi(sejarah), tetapi adalah petunjuk, penenang hati daripada Allah SWT.”

                Ketika itu aku diam dan mula memandang wajah guru kesayanganku itu.

                Menanti apakah yang menarik yang akan disampaikan olehnya. Sebab Dr Ala’ memang terkenal dengan manusia yang mampu menggugah jiwa manusia yang lain.

Sepintas kisah Khidir, menandakan bukan itu perhatian utamanya

Dr Ala’ tidak panjang menceritakan kisah Khidir dan Musa. Dia sekadar mengeluarkan point penting. Katanya ada enam point penting, tetapi dikeluarkan tiga point terlebih dahulu. Dr Ala’ kata, tiga point yang hendak dikeluarkan ini adalah perjalanan Khidir dan Musa.

                1 – Khidir membocorkan perahu milik seorang miskin, yang digunakan oleh mereka berdua untuk merentas sungai.

                “Lalu berjalanlah keduanya(Khidir dan Musa) sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, kemudian dia(Khidir) membocorkannya.” Surah Al-Kahfi ayat 71.

                2 – Khidir membunuh seorang anak kecil.

                “Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya.” Surah Al-Kahfi 74.

                3 – Khidir menegakkan sebuah dinding yang hampir roboh.

                “kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka dia(Khidir) menegakkan dinding itu.” Surah Al-Kahfi ayat 77.

                Dan Dr Ala’ memberitahu betapa Musa AS, dalam setiap perlakuan itu, menimbulkan pertanyaan. Sedangkan, perjanjian yang dipersetujui mereka di awal perjalanan adalah, Musa tidak akan bertanya apa-apa.

                Kemudian Dr Ala’ menceritakan juga hikmah-hikmah mengapa Khidir melakukan semua itu. Dan semua itu terdapat di dalam Al-Quran pada ayat 79-82 Surah Al-Kahfi. Dibocorkan perahu, kerana hendak menyelamatkan perahu itu daripada raja zalim yang suka merampas perahu-perahu yang baik. Dibunuh anak itu, kerana anak itu akan membesar dan menyesatkan kedua ibu bapanya. Dibina semula dinding, kerana di situ terdapat harta untuk dua anak yatim yang tinggal di negeri itu. Dibina semula untuk melindungi harta mereka, agar nanti kala mereka dewasa, mereka akan mendapatkannya.

                Laju sahaja Dr Ala’ menceritakan semua itu.

                Seakan-akan, bukan itu maudu’ utamanya.

                Dan sampai setakat ini, aku masih tidak nampak, apa yang menariknya?

Tiga point yang ditinggal.

Pada titik inilah, Dr Ala’ bertanya kepada kelas:

                “Apakah tujuan utama Allah SWT apabila Dia menceritakan kita kisah ini?”

                Seorang pelajar menjawab – “Kebijaksanaan Khidir?”

                Dr Ala’ menggeleng. “Tetapi bagus kamu utarakan jawapan itu.”

                Seorang pelajar menjawab – “Bagaimana Allah memberikan pengajaran kepada Musa?”

                Dr Ala’ menggeleng. “Musa telah mati.”

                Kelas diam. Aku diam juga. Sebab aku tidak pasti hendak menjawab apa.

                “Apakah benar Khidir itu bijaksana? Atau sebenarnya dia tidak mempunyai ilmu langsung?” Dr Ala’ menimbulkan persoalan. Memecahkan kesunyian. Aku terkejut, begitu juga seluruh isi kelas. Dr Ala’ nak kata Khidir bukan bijaksana? Tak berilmu?

                Aku lihat senyuman Dr Ala’ ketika itu, dan aku yakin dia yakin kata-katanya benar.

                “Tahukah apa yang pertama sekali Allah sebut apabila memperkenalkan Khidir ini?”

                Kami diam tidak menjawab. Dr Ala’ pun membacakan satu potong ayat. Ayat pertama ketika Allah memperkenalkan Khidir kepada pembaca Al-Quran.

                “Lalu mereka bertemu dengan  seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.” Surah Al-Kahfi ayat 65.

                “Khidir sebenarnya, bukan bijaksana. Sebab ilmu Khidir bukanlah ilmu yang dicarinya sendiri. Bukan berdasarkan pengalaman. Bukan berdasarkan pemikiran. Khidir tidak berfikir. Dia hanya ‘bergerak’ berdasarkan apa yang telah ‘ditetap’kan. Sebab ilmu Khidir hakikatnya adalah ilmu Allah SWT secara langsung. Sebab itu Allah menyebut – dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami. Ilmu itu adalah yang kita kenali sebagai Ilmu Ladunni. Ilmu yang datang terus daripada Allah SWT. Atau pendek kata, Ilmu Allah itu sendiri. Yang tak terjangkau dek manusia.”

                Ketika ini mata aku terbuka. Itu point pertama, dari tiga point yang belum disebut.

                “Maka, segala keputusan Khidir di dalam peristiwa ini, bukanlah keputusan dia. Bukan terhasil dari pemikirannya. Bahkan sebenarnya, itu bukan keputusan seorang Khidir pun. Tetapi hakikatnya adalah keputusan Allah SWT. Lihat sendiri apa kata Khidir di akhir perjalanannya dengan Musa.”

                Dan Dr Ala’ membaca: “dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri.” Surah Al-Kahfi ayat 82.

                “Apa yang Khidir lakukan itu, hakikatnya bukan tindakan dia. Khidir hanyalah ibarat robot yang diprogramkan Allah SWT untuk melakukan itu dan ini. Sebab itu, apakah kamu pernah mendengar riwayat sohih akan kewujudan manusia seperti Khidir ini di zaman-zaman lain? Dia hanya wujud untuk Musa dalam perjalanan ini, dan tidak diketahui wujud baik sebelum itu mahupun selepas itu.”

                Sekali lagi aku macam tersentak. Itu point kedua dari tiga. Dada berdegup kencang. Rasa teruja. Rasa macam Allah SWT telah membukakan satu lagi ilmu yang luas untuk diri ini.

                “Dan dengan kisah Khidir, Allah hendak mendidik kita untuk bersabar dengan keputusan-keputusanNya. Sebab itu, isu perjalanan Khidir dengan Musa, hakikatnya adalah isu BERSABAR DENGAN KEPUTUSAN ALLAH SWT. Tidakkah kamu melihat, apakah perjanjian utama mereka di dalam perjalanan ini?”

                "Musa berkata kepada lelaki itu(Khidir): Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Dia menjawab: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu? Musa berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun. Dia(Khidir) berkata: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.” Ayat 66-70 Surah Al-Kahfi.

                Dan lengkaplah tiga point yang ditinggalkan di awal cerita tadi.

Keputusan Allah, dan bersangka baik kepadaNya.

Dr Ala’ memberitahu bahawa, kisah Khidir dan Musa adalah untuk menunjukkan bagaimana Allah SWT dalam membuat keputusan.

                “Apa-apa musibah yang melanda itu, hakikatnya baik untuk kita.” Itu point yang paling penting yang diberikan Dr Ala’ kepada kami.

                Kisah Khidir adalah buktinya. Apabila semua yang dilakukan itu, hakikatnya mempunyai sebab. Tuan punya perahu, perahunya tidak lagi dirampas kerana bocor. Dan bocor itu boleh dibaiki dan dia masih boleh berniaga dengan perahunya lagi. Ibu bapa yang kehilangan anak, keimanan mereka terselamat, dan mereka takkan dicampak ke neraka Allah nanti. Dua anak yatim yang dibantu, memang akan terjaga hartanya sampai mereka dewasa nanti.

                Ada perkara itu, Allah berikan yang pahit dahulu. Perahu bocor, anak mati. Ada perkara, Allah berikan terus-terus nampak baik. Bina dinding yang hampir roboh. Tetapi kesimpulannya, semua itu akan menghala kepada kebaikan.

                “Pokoknya, kita perlu bersabar, dan bersangka baik dengan keputusan Allah SWT. Tidakkah kita belajar bahawa, manusia yang tidak mampu bersabar, adalah manusia yang rugi?”

                Kami tersentak sekali lagi. Eh? Kita belajar daripada mana?

                “Lihatlah Musa, bagaimana dengan ketidak sabarannya, dia terpaksa berhenti dari mengikuti Khidir, sedangkan kalau dia bersabar, mungkin lebih banyak lagi hikmah yang akan dibukakan kepadanya.” Dr Ala’ tersenyum. Kami akhirnya memahami.

                “Orang-orang yang bersabar, dan sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, mereka takkan terganggu dengan musibah-musibah yang melanda mereka. Kerana mereka tahu, Allah SWT hanya mahukan yang baik-baik sahaja.”

Penutup: “Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu.” 

Dr Ala’ kemudian berkata:

                “Ilmu Allah itu, memang takkan terjangka oleh kita. Apa kata kita letakkan sepenuhnya kepercayaan kita, kepada Allah SWT Yang Maha Mengetahui Segala-galanya itu?”

                Itulah pointnya dinyatakan jenis ilmu Khidir. Ilmu Ladunni. Bukan Ilmu manusia. Tetapi Ilmu Ilahi. Tak sama ilmu manusia, dengan ilmu Ilahi.

                “Musa telah tiada. Tetapi kisah itu kekal hingga ke hari ini. Sebab pengajaran di dalam kisah itu, hakikatnya untuk kita. Maka perhatikanlah. Aku ceritakan ini, agar kamu membuka fikiranmu. Kalau kita melihat ini sekadar tarikhi(sejarah), kamu takkan sampai kepada apa yang aku sampaikan kepada kamu hari ini.”

                Aku rasa puas.

                Indah sungguh Al-Quran. Indah sungguh ilmu Allah SWT. Cantik sungguh cara penceritaan di dalam Al-Quran. Dan besar sungguh pengajaran yang Allah mahu berikan.

                Hanya dari satu cerita, yang orang selalunya menyangka biasa-biasa.

                Semoga bermakna kepada kita semua.


Ps: Dr Ala' Hilat adalah pensyarah di Kuliah Syariah University of Yarmouk, Jordan. Merupakan seorang yang khusus(pakar) di dalam bidang Muqorantul Adyan(perbandingan agama). Juga antara sebilangan kecil orang-orang arab yang mengambil pengkhususan mendalami agama Yahudi sehingga ke akar umbinya. Dr Ala' Hilat juga pakar dalam bidang Ilmu An-Nafs. Umurnya baru awal 30-an. Hampir seluruh jenis mata pelajaran Aqidah(Aqidah, Muqoranatul Adyan, Firaq fi tarikhil islam), saya belajar dengan dia.



Monday, July 7, 2014

Wahai Sahabat, aku sayang kepadamu kerana Allah

Wahai sahabatku,
Aku sayang kepadamu kerana Allah.
Kasih sayang adalah anugerah Allah kepada hambaNya. Ia lahir dari perasaan halus dalam qalbu lalu membentuk sikap, keinginan dan kasih sayang. Allah mengurniakan perasaan ini sehingga menggetar jiwa dan perasaan, lalu lahir rasa gembira dan sedih. 

Wahai Sahabatku,
Bilamana aku mencintaimu kerana Allah, bermakna aku mengharapkan persahabatan ini diredhai Allah, agar ia berjalan kerana Allah dan bagi Allah. Persahabatan ini bukan di asas atas kebendaan atau kehendak duniawi yang dimiliki olehmu atau rakan-rakanmu. Persahabatan kerana Allah bermakna kalau aku menegurmu, maka teguranku kerana kasihku padamu. Aku bimbang kalau Allah murka kepadamu, lalu Ia menjauhkan kita dalam persahabatan ini.

Wahai sahabatku,
Kecintaanku padamu kerana Allah bermakna aku akan sentiasa ingat padamu kerana Allah, mengenangmu dalam setiap doa dan munajatku, mengharapkan agar Allah memeliharamu. Alangkah tingginya kasih sayang. Ini kerana Allah.
Pernah suatu hari seorang sahabat datang menemui Rasulullah, dan menyatakan ia sayang sahabatnya kerana Allah, lalu Baginda bertanya, " apakah dia tahu kamu sayang padanya kerana Allah?", lalu kata sahabat itu, " dia tidak mengetahui ya Rasulullah ", lalu Baginda menyuruhnya memberitahu sahabat itu. Lalu ia bangkit dan menemui sahabatnya, lalu ia berkata " wahai sahabatku, aku sayang padamu kerana Allah".

Wahai sahabatku,
Aku sayang kepadamu kerana Allah kerana persahabatan ini bukan hanya sekadar dunia ini semata mata, bahkan ia akan berterusan sampai alam barzakh dan alam akhirat. Alangkah indahnya bilamana Allah kumpulkan semua kekasihnya di kalangan para Rasul lalu Allah kumpulkan pula kita semua bersama kekasih Allah itu".

Wahai sahabatku,
Aku akan gembira melihatmu berada dalam keredhaan Allah dalam ibadahmu, zikir dan munajatmu. Bilamana engkau berada dalam medan jihad, lalu engkau korbankan masamu, kerehatanmu bersama keluarga, harta bendamu dan tenagamu semuanya engkau lakukan tanpa mengeluh, tanpa mengadu kepenatan, tanpa mengharapkan sebarang habuan duniawi. Aku tahu engkau saban malam mengadu kepada Allah segala kepenatanmu, kedukaanmu dan kesukaran bidupmu. Lalu Allah menyiram hatimu dengan rahmat dan kasihsayangNya, sehingga hilang resahmu dan kepenatanmu.

Wahai sahabatku,
Aku bangga denganmu yang tidak mempeduli kata nista, fitnah dan cercaan manusia kepadamu kerana bilamana hatimu penuh dengan kasih sayang Allah, maka tiada lagi ruang untuk makhluk merosakkan jiwamu. Ketabahanmu dalam perjuangan ini menjadi inspirasi buat semua sahabat- sahabat agar kita saling mensayangi, mencintaimu kerana Allah.

Wahai sahabatku,
Kecintaan ku padamu kerana Allah menyebabkan engkau tidak akan melupaiku dalam doa dan munajatmu. Bilamana engkau memohon keampunan Allah terhadap dosamu, maka akan pasti engkau akan turut memohon pengampunan Allah terhadap dosa dan kesalahanku. Bilamana engkau memohon rahmat Allah, maka engkau akan memohon sama untukku, dan bilamana engkau mengharap redha Allah, maka engkau akan turut memohon redha Allah terhadapku. Sebagaimana aku akan lakukan juga untukmu, kerana aku menyayangimu kerana Allah.

Wahai sahabatku,
Persahabatan ini menuntut aku membersihkan dirimu dari fitnah dan nista. Persahabatan ini menuntut aku agar sentiasa melindungimu dari sebarang usaha musuh merosakkanmu dan keluargamu. Persahabatan ini menuntutku agar mengutamakanmu dalam sebarang kedudukan dan tempat. Bahkan persahabatan ini menuntut agar aku sentiasa baik sangka terhadapmu kerana Allah.

Wahai sahabatku,
Andainya dalam persahabatan ini aku memarahimu, menegurmu, atau meninggikan suaraku terhadapmu ketahuilah ia dilakukan kerana Allah bagi membetulkan langkahmu, lalu bersyukurlah. Andainya ia kelemahanku dan sifat burukku, aku mohon keampuanan Allah dan kemaafanmu di atas kesilapanku. 


Wahai sahabatku,
Aku tidak pernah menyimpan kemarahanku di dalam benak fikiran dan hatiku kerana bilamana aku menyayangimu kerana Allah, maka aku akan tidak akan mencari kemurkaanNya dalam pergaulan dan persahabatan ini. Alangkah indahnya bilamana kita berbicara, memerah fikiran dan tenaga bagi mendaulatkan perintah Allah bersama- sama, kita masih boleh gelak ketawa dalam teguran dan kritikan, kita masih boleh senyum dalam kepenatan dan kesakitan dan kita masih boleh saling mengutamakan sahabat dari diri kita . Alangkah indahnya persahabatan dalam perjuangan ini.

Ya Allah , aku sayang sahabatku serta sahabat seperjuanganku keranaMu, maka peliharalah ukuhwah ini keranaMu wahai Allah.

Ramadhan kareem

Sunday, July 6, 2014

Berdoa..jangan tak doa...


Bulan Ramadhan ni bulan penuh keberkatan. Doa orang berpuasa kata Nabi saw adalah Doa yang makbul.

Antara waktu terbaik berdoa ialah sekitar waktu iftar (berbuka puasa). Waktu nak iftar janganlah sibuk dengan juadah lagi, duduk beristighfar, zikir, dan doalah bersungguh-sungguh.

Kata Nabi saw dalam satu hadith, berdoalah kamu seolah-olah kamu yakin doa kamu itu dimakbulkan.

Maka, inilah peluang keemasan kita. Jangan ambil ringan hal ini kerana doa antara senjata yang paling berharga bagi umat Islam.

Mana tidaknya, antara faktor kemenangan tentera Muslimin dalam peperangan Badar adalah doa Nabi saw yang dimakbulkan. Ketika itu bulan Ramadhan, mereka berpuasa, mereka berdoa.. Lantas Allah kabulkan doa mereka.

Selamat beribadah di bulan yang mulia.. 




Imam Muda Hassan

Thursday, July 3, 2014

Keajaiban Bersedekah

Assalamualaikum,

3 minggu lepas, saya menghadiri satu seminar selama 5 hari.

Seminar ini kebanyakannya dihadiri oleh mereka yang diberi kelapangan kewangan oleh Allah. Ini kerana kos seminar itu hampir RM8,000 untuk 5 hari.

Tak ramai yang mampu hadir disebabkan kos yang sangat tinggi.

Bertemu Dengan Ramai Jutawan

Sepanjang 5 hari di sana, saya bertemu dengan ramai jutawan.

Mereka 'tersangat' kaya.

Ada yang income mencecah RM500k-RM600k sebulan, baru berusia 40-an.

Ada yang baru berusia 25 tahun, tapi pendapatan bulanan sudah mencecah RM50k sebulan.

Ada yang berusia 35 tahun. Sales tahunan mencecah RM120 juta.

Tak boleh nak cerita semua. Sebab terlalu ramai yang hebat.

Subhanallah. Saya sendiri terkejut dengan kejayaan mereka.

Jangan tunggu kaya baru nak sedekah. Sebab itulah nanti kita tak kaya kaya. Untuk menerima, kita perlu memberi dahulu.

Nasihat Dari Para Jutawan

Semasa salah satu sessi, saya sarapan pagi bersama mereka.

Saya tanya mereka, apa rahsia amalan yang mereka buat untuk berjaya sampai ke tahap itu?

Salah seorang peserta, berusia 25 tahun berpendapatan RM50k sebulan berkongsi dengan saya.

"Bang, saya nak share satu benda aja. Kalau kita nak yang terbaik. Kita kena beri yang terbaik. Nak duit banyak, kena sedekah banyak. Satu benda mudah yang saya nak share dengan abang, sedekah bila masuk masjid. Abang buka beg duit, ambil duit yang paling besar. Then, sedekah kat tabung masjid. Abang buat aje, nanti abang akan rasai perbezaannya. Bila kita beri yang terbaik, Allah pulangkan yang terbaik untuk kita."

Kemudian, salah seorang CEO syarikat lain menambah.

"Firdaus, kau jangan percaya apa dia ni cakap. Jangan percaya, tapi kau buat aje!!! Ingat, duit yang paling besar dalam wallet ok."

Kemudian, salah seorang CEO syarikat lain pulak menambah.

"Saya ni dah lama jutawan. Tapi, dulu nak sedekah kat masjid, RM10 pun rasa berat. Kedekutnya saya waktu tu. Tapi, lepas saya belajar. Saya dah tak kedekut. Saya pun sama macam mereka. Saya keluarkan duit yang paling besar ada dalam wallet saya. Saya juga selalu tukar duit kecil, RM1, RM5, RM10, RM20 dan saya selalu bawa bersama saya. Bila saya jumpa orang yang memerlukan, saya akan sedekah ikut keperluan mereka."

Wowwww...... Ini rupanya rahsia mereka.

Saya Masuk Masjid Dan Teringat Kata Kata Mereka

Hari Khamis yang lepas, saya masuk ke Masjid di Parit Buntar.

Pada waktu tu, saya teringat nak bersedekah kepada masjid. Saya berazam nak sumbanglah RM50 kepada masjid. Sebab saya sangka itulah duit yang paling besar saya ada dalam wallet.

Tiba tiba, bila saya buka beg duit.

Allahuakbar. Macam mana ada duit RM100 pulak dalam wallet saya ni?

Aduh !!!!!

Iman saya mula bergoyang. Nak sumbang RM50 pun dah kira besar. Inikan pula RM100. Fuhhhhh.... Saya berpeluh seketika.

Tapi, disebabkan saya teringat kata kata para jutawan yang menggalakkan saya menderma wang terbesar dalam wallet. Saya pun, dengan rasa 'berat hati'. Saya keluarkan RM100 dan masukkan dalam tabung masjid.

Saya ingat lagi, masa saya sumbang tu. Saya berdoa kepada Allah.

"Ya Allah, aku berikan yang terbaik untuk Mu. Aku tak tahu macam mana Kau akan gantikan duit ini untukku. Tapi, aku sudah menjalankan tanggung jawabku. Sekarang, aku serahkan pada Mu untuk mengaturkan sesuatu untuk aku."

Sejujurnya, masa saya keluar masjid. Saya asyik berfikir.

"Hmmm.... macam manalah Allah nak gantik RM100 ni dalam masa segera?" tak nampak jalan yang saya akan dapat duit dari mana mana sumber bisnes yang saya buat.

Tapi, tak per lah. Saya buat kerja saya, selebihnya saya serahkan kepada Allah.

Apa Berlaku Pada Hari Jumaat?

Pagi Jumaat, saya buat kerja seperti biasa. Tiba tiba, saya dapat panggilan telefon daripada abang saya.

"Daus, cepat cepat. Jual saham yang hang beli tu? Sekarang naik mencanak."

Tanpa membuang masa, saya terus onlinekan telefon saya.

Saya cek saham yang dah 2-3 minggu saya beli, yang asyik turun tak naik naik. Saya pun dah sedikit kecewa dengan saham ni.

Terbeliak biji mata saya tengok harga semasa saham tersebut.

Allahuakbar.

Kalau dihitung mudah, keuntungan sekitar RM4,800.

Subhanallah. Tanpa membuang masa, saya terus jual saham tersebut.

Syukur Alhamdulillah.

Saya benar benar tak sangka, Allah nak beri rezeki kepada saya daripada pintu yang tidak saya sangka.

Memang saya jangka saham yang saya beli tu akan naik. Saya jangka untung dalam RM1,000-RM1,500. Tak lah sampai RM4,800 dalam tempoh 2-3 minggu.

Subhanallah. Saya bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan.

Selepas itu, saya pergi ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Sekali lagi, saya buka beg duit saya, saya dermakan wang paling besar yang saya ada.

Kali ini, saya berdoa kepada Allah.

"Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat yang Kau berikan kepadaku. Terima kasih kerana memberi 'pulangan' kepada aku dengan begitu pantas. Hari ini, aku berikan sumbangan aku lagi untuk masjid ini. Semoga Kau berikan yang lebih baik buat aku selepas ini."

Jangan takut untuk bersedekah.

Allah Allah.....

Selama ini, bukan saya tak percaya THE POWER OF SEDEKAH.

Saya tersangat percaya, tapi biasalah. Kita manusia. Kita selalu rasa takut nak MEMBERI. Kita ingat dengan memberi akan mengurangkan apa yang kita ada.

Sebenarnya tak, bila kita memberi. Kita akan menambah apa yang kita sedia ada.

Saya tulis kali ini, semata mata untuk memberi kekuatan kepada saya untuk memberi yang terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan.

Semoga kisah ini juga sedikit sebanyak akan memberi inspirasi kepada anda untuk bersedekah.

Kawan kawan semua.... Jom Bersedekah.

Ingat pesan ini, "Kita kurang berjaya bukan kerana kita kurang menerima, tetapi kerana kita kurang memberi. The more we give, the more we get back. Insya Allah."

Jika kita tak mampu nak bersedekah dengan wang ringgit, jom bersedekah dengan cara yang paling mudah. Iaitu dengan memberi senyuman.

Kalau ini pun kita tak mampu nak lakukan, hmmm.... Lebih baik kita usah hidup.

Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk lebih banyak memberi selepas ini.


ps:/ saya copy paste dari fb tapi cubalah memang menjadi..insyaallah